BARCELONA: Bercelona dilaporkan bersetuju dengan yuran perpindahan £22 juta (RM120.50 juta) buat penyerang Lyon, Memphis Depay ketika Ronald Koeman mula membina skuadnya.

Bos Catalan itu mahukan penyerang bagi berpasangan dengan Lionel Messi dengan Luis Suarez ditunjukkan jalan keluar.

Walaupun meledak 15 gol musim lalu, pengurus Lyon, Rudi Garcia enggan menghalang perpindahan itu.

Malah Garcia berjenaka bahawa dia sendiri akan memandu untuk membawa penyerang berusia 26 tahun itu ke Nou Camp dalam merealisasikan impian itu.

Dia memberitahu Telefoot: “Saya membaca laporan akhbar Catalan pagi ini. Mereka bercakap mengenai Memphis.

“Memphis ialah pemain yang menakjubkan dan jika dia boleh bermain musim depan bersama Lyon, kami hanya akan menjadi lebih kuat.

“Tapi seperti kebanyakan pemain saya, jika mereka ada peluang bermain di kelab yang dibina untuk menang Liga Juara-Juara, yang banyak ditemui mereka musim lalu, saya secara peribadi akan membawa mereka dengan kereta saya.”

Akhbar Sepanyol, La Vanguardia melaporkan tawaran Barca itu sudah diterima dan hanya menantikan syarat peribadi. – Agensi