IPOH : Menteri Besar Perak yang baru, Ahmad Faizal Azumu berikrar akan melantik barisan exco yang bersih daripada tuduhan rasuah serta ditapis terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Ahmad yang mengangkat sumpah ke jawatan itu hari ini berkata, langkah itu diambil sebagaimana ditetapkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Calon-calon mesti dari kalangan mereka yang bersih, yang telah ditapis oleh agensi-agensi SPRM dan polis.

“Tak ada masalah yang boleh membebankan kerajaan atau menimbulkan imej yang tak baik kepada kerajaan,” katanya pada satu sidang akhbar yang disiar secara langsung oleh Sin Chew Daily.

Pada 9 Mac lalu, Faizal mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak tumbang.

Susulan itu beberapa wakil rakyat daripada parti-parti dalam PH juga bertindak keluar parti.

Di antara mereka yang berbuat demikian adalah Adun Tronoh, Paul Yong dari DAP.

Yong yang merupakan seorang exco kerajaan negeri sebelum ini kini menghadapi perbicaraan kes rogol membabitkan bekas pembantu rumahnya.

Adun lain yang menyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri dari PKR dan Adun bebas Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), yang masing-masing mengumumkan menyertai Bersatu.

Adun Buntong, A Sivasubramaniam dari DAP dan Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dari Amanah juga keluar parti masing-masing untuk menyokong gabungan baru berkenaan.