DUNGUN: Kesedihan bertimpa-timpa bagi Mohd Sharizal Mat Jusoh , 31, yang kematian ibunya Isnin lalu apabila dia turut kehilangan rumah yang didiami keluarganya dalam kebakaran di Kampung Che Lijah di sini, pagi tadi.

Mohd Sharizal sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, dan ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, dia bersama isteri, Rozizailani Abdul Jani, 32, keluar bekerja manakala tiga anak mereka berada di rumah mentua.

Tukang rumah itu memberitahu, dia dihubungi oleh sepupunya, Aishah Abd Karim, 17, bahawa rumahnya sedang terbakar, dan apabila bergegas pulang, dia tidak dapat menyelamatkan apa-apa barangan kerana api sedang marak.

“Kami cuma mampu tenguk rumah yang kami duduk sejak enam tahun dulu itu lenyap,”ujarnya ketika dihubungi.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Pegawai Pembangunan Parlimen, Datuk Din Adam yang meninjau keadaan keluarga mangsa, dan membawa sedikit kelegaan kepada mereka.

Menurut Din, pihaknya akan memberikan bantuan awal seperti barang keperluan harian dan pakaian persekolahan anak-anak di samping akan membina sebuah rumah PPRT di tapak tersebut bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Saifuddin Muhammad ketika dihubungi berkata, seramai 18 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Paka dan Al Mukhtafi Bilah Shah bersama kekuatan empat buah jentera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

“Setibanya di tempat kejadian, kebakaran telah memusnahkan dua buah rumah (sebuah daripadanya tidak didiami) dan kami melakukan pemadaman pencegahan di sebuah rumah lagi bagi mengelakkan daripada turut disambar api,” ujarnya-UTUSAN ONLINE