KUALA KANGSAR: Tujuh wanita warga Indonesia cedera apabila bas ekspres yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 230 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, pagi ini.

Ketika kejadian, bas ekspres itu membawa 30 penumpang.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 2.20 pagi.

“Apabila jentera tiba dilokasi, didapati tujuh orang mangsa mengalami kecederaan tetapi tiada yang tersepit.

“Enam orang mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak ambulan untuk rawatan lanjut,” katanya di sini.

Katanya, anggota bomba telah memberi rawatan awal terhadap seorang mangsa sebelum membawanya ke hospital untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II tamat pada 2.55 pagi.