IPOH: Bas membawa penyokong Kelantan dipercayai dilempar batu oleh sekumpulan individu selepas perlawanan Perak dan Kelantan dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Perak di sini malam tadi.

Difahamkan, ketika kejadian jam 11.15 malam itu, kumpulan penyokong Kelantan berjalan kaki dari stadium menuju ke arah bas selepas tamat perlawanan.

Sebaik tiba, penyokong pasukan Kelantan terdengar dentuman dari arah belakang bas.

Kumpulan itu kemudiannya meninggalkan pekarangan stadium namun mereka mendakwa sekumpulan individu berpakaian hitam menyerbu bas dinaiki dan membaling batu ke arah kenderaan mereka.

Ketika berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuhraya Utara-Selatan, kumpulan penyokong berkenaan mendapati terdapat kesan calar pada belakang kanan dan bahagian lampu isyarat membelok.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk tindakan lanjut. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Jamalani Mat Isa, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.20 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, kes itu dirujuk ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh untuk tindakan lanjut. Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Abdul Rani Alias, ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan itu daripada pihak IPD Gerik.

Selanjutnya di : http://www.bhplus.com.my/node/255073