KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi kawasan Putrajaya yang akan mula beroperasi 1 November depan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkhidmatan itu merupakan antara inisiatif di bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu rakyat, khususnya warga Putrajaya, mengurangkan beban sara hidup dalam aspek pengangkutan selain memudahkan urusan di Putrajaya.

“Pada masa yang sama, kemudahan bas percuma tersebut akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.

“Kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia dan akan merangkumi kesemua laluan bas Nadi Putra sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata inisiatif bas percuma yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM12 juta setahun ini sangat relevan dalam mengukuhkan kesalinghubungan yang cekap serta bermanfaat untuk kesejahteraan hidup rakyat terutama warga Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Dengan tersedianya kemudahan ini, dijangka akan dapat meningkatkan sebanyak 50 peratus penumpang bas Nadi Putra bagi tahun 2021,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan bas percuma tersebut, beliau berkata laluan dan kekerapan bas Nadi Putra telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.

“Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak (jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang), setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Manakala bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4 dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua buah hentian iaitu di Kompleks E, Presint 1 dan di Dataran Gemilang, beliau berkata Presint 4 juga dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata KWP dan PPj dengan komitmen jitu daripada syarikat yang mengurus dan mengendalikan operasi bas Nadi Putra, Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) juga akan membuat penambahan bas sehingga menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 40 buah bas iaitu 37 buah bas diesel dan 3 buah bas elektrik secara berperingkat bermula tahun hadapan.