IPOH, 30 DIS: Perkhidmatan Bas RM1 dijangka bermula sebelum Ramadan tahun hadapan di Chenderiang dan Hulu Lintang khusus untuk kemudahan pengangkutan bagi masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkhidmatan Bas RM1 akan dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negeri Perak.

“Perkhidmatan Bas RM1 akan dilaksanakan pada tahun 2021 bermula di kawasan Chenderiang dan Hulu Lintang di daerah Batang Padang .

“Ia bertujuan memberi perkhidmatan kepada masyarakat di luar bandar untuk menikmati pengangkutan awam yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak.

“Jika pelaksanaan ini berjalan lancar, kerajaan negeri akan memperluaskan perkhidmatan bas ini ke daerah-daerah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkhidmatan Bas RM1 selepas melancarkan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Zolkafly, perkhidmatan bas tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 8,000 Orang Asli yang tinggal di kedua-dua kawasan berkenaan.

Katanya, ia akan membantu pergerakan penduduk ke bandar kerana sebelum ini tiada perkhidmatan bas yang disediakan di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memilih pengusaha bas yang berkelayakan untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2 juta bagi memperluaskan perkhidmatan bas henti-henti pada kadar bayaran RM1 ke Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar mulai tahun hadapan.