TAPAH: Batalion Ketiga Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mencatat kejayaan besar dalam Op Benteng dan Op Bersepadu Khazanah termasuk merampas lebih 32 ribu kilogram daun ketum bernilai hampir RM1 juta dan menangkap tiga suspek pemburu haram gajah dan harimau.

Salah seorang daripada tiga suspek itu menjadi buruan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak hampir 20 tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, suspek aktif memburu di hutan-hutan di Johor, Pahang, Perak dan Kelantan.

“Pada 10 Julai yang lalu, kita tangkap tiga orang termasuk seorang yang diburu Perhilitan sejak 20 tahun kerana mempunyai rekod seperti memiliki daging dan kulit harimau.

“Kita juga berjaya merampas dua laras senjata api senapang patah daripada mereka, termasuk 63 butir peluru hidup berbagai jenis dan juga jerat-jerat yang telah diubahsua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media diakhir lawatan dkerja di Batalian 3 PGA Bidor, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang Op Benteng yang bermula Mei, pasukan tersebut berjaya menangkap 41 pendatang tanpa izin (PATI) di samping memberkas 15 lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia bersama daun ketum.

Beliau memberi amaran kepada warga tempatan supaya jangan terlibat sama sekali dengan aktiviti membawa masuk PATI kerana ia adalah pengkhianatan kepada negara.

Kesalahan dibawah Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali.