KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerjasama semua pihak supaya membatalkan kenduri majlis perkahwinan kerana ia termasuk dalam Peraturan Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, majlis keraian itu termasuk dalam perhimpunan ramai dan ia akan meningkatkan risiko jangkitan coronavirus (COVID-19).

“Saya tahu ini musim kenduri kahwin….maklumlah cuti sekolah. Saya ingin mengingatkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah perhimpunan ramai, antaranya kenduri kahwin.

“Jadi, kepada ibu-bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen di sini, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat jangan menggunakan tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan untuk bersuka-ria termasuk melepak di kedai makan

“Memang kedai makan dibuka tetapi untuk elak risiko jangkitan, saudara-saudari tidak dibenarkan makan di premis berkenaan. Bungkus dan bawa balik ke rumah atau guna perkhidmatan penghantaran makanan.

“Jangan guna peluang dua minggu ini untuk lepak di kedai makan, ini akan meningkatkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan rakyat negara masih boleh keluar ke pasar untuk mendapatkan keperluan harian dan ke kedai makan.

“Pasar masih dibuka tetapi amalkan penjagaan kesihatan yang rapi. Elakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri dan sentiasa bersihkan diri,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, perkara sedemikian nampak remeh tetapi ia sebenarnya perkara penting yang mesti dilakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara.

“Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita dan tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian sebaliknya memerlukan sokongan semua,” katanya.