BATU GAJAH: Daerah Batu Gajah akan menjadi pusat ekonomi pelancongan dan riadah yang terbaharu di negeri Perak.

Kewujudan Silverlakes Village Outlet dengan pelaburan lebih RM2 bilion yang dijangka beroperasi awal tahun hadapan, projek Spanish Gardens oleh Team Keris Berhad (TKB), Kellie’s Castle dan Kapal Korek TT5 akan mempercepatkan lagi hasrat tersebut.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, ia selaras dengan hasrat untuk menjadikan daerah itu sebagai kawasan pilihan utama untuk didiami.

“Hasrat MDBG adalah untuk menjadikan Batu Gajah sebagai bandar berdaya huni dan kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk kita pastikan bandar kita ini ceria, bersih dan menarik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Team Keris Berhad (TKB) bersama MDBG di sini, hari ini.

Program dirasmikan Pegawai Daerah Batu Gajah, Meor Hezbullah Meor Abd Malik. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat TKB, Datuk Lee Seng Hee.

Razif berkata, walaupun mempunyai banyak kawasan perindustrian tetapi dalam masa sama mereka juga mahu Batu Gajah menjadi bandar pelancongan dan berdaya huni.

“Kita hendak orang yang bekerja di Batu Gajah, tinggal di sini dan kita akan menyediakan kemudahan yang mesra kepada semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat TKB, Anuar Abu Hassan berkata, sebagai antara pemegang taruh pembangunan di Batu Gajah, merek akan terus menyumbang kepada kepesatan pembangunan kawasan itu.

Menurutnya, projek terbaru mereka yang dinamakan ‘Spanish Gardens by The Water’, adalah pembangunan yang berinspirasikan seni reka bina Al Andalus, era kegemilangan Islam pada kurun 711 Masihi.

Katanya, projek itu merentasi 130 ekar dengan 20 ekar bukaan tasik yang indah, gabungan alam semulajadi dan seni rekabina yang estetik, menyusuri jalanan di tepian tasik berdamping kehijauan melata yang memberikan satu pembangunan yang damai, indah, harmoni dan tenang.
 

“Kami yakin Batu Gajah akan memberikan Team Keris Berhad peluang untuk mengeluarkan kisah kejayaan Spanish Gardens by The Water, sepertimana yang kami telah lakukan di Seri Iskandar melalui permbangunan Lestari IUS, di mana keseluruhan projek telah disiapkan dengan jualan penuh 354 unit rumah hanya dalam tempoh 13 bulan,” ujarnya.
 

Sementara itu, Meor Hezbullah berharap lebih banyak entiti swasta tampil dan mengambil inisiatif yang sama bagi mewujudkan persekitaran yang indah di mana-mana jua pembangunan yang mereka terokai bagi kesejahteraan semua.