Oleh: Aida Aziz

IPOH: Persekitaran Flat First Garden, Buntong dekat sini, yang dipenuhi timbunan sampah sarap menjadikan kawasan perumahan itu berbau busuk dan kelihatan seperti tempat pembuangan sampah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyertai program gotong royong di rumah pangsa itu, menyatakan perasaan dukacitanya melihat keadaan persekitaran flat yang berusia kira-kira 30 tahun itu yang disifatkannya begitu mengejutkan.

“Flat ini milik persendirian dan kita lihat pengurusan di kawasan ini khususnya 280 unit yang dihuni oleh 127 penduduk, sebahagian kosong serta dalam keadaan yang sangat mendukacitakan dari segi sampah sarap.

“Kita dapat saksikan ia menjadi tempat pembuangan sampah bukan hanya di corong membuang sampah tetapi juga di blok tingkat satu yang dipenuhi dengan timbunan sampah,” katanya.

Program Gotong-Royong Flat First Garden, Buntong di sini, hari ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

Flat-Buntong 3

Berikutan itu, Dr. Zambry mencadangkan supaya diwujudkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam menangani isu sampah sarap di kawasan itu selain membendung masalah keselamatan yang berbangkit.
Menteri Besar menegaskan beliau tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak di atas masalah tersebut.

Beliau percaya, ia terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan sosial, keselamatan dan kejiranan.

“KRT membolehkan semua yang tinggal di sini bertanggungjawab dan bekerja bersama-sama dan tidak hanya tinggal dalam dunia sendiri.

“Ada penduduk yang datang kepada saya dan memberitahu masalah keselamatan yang berlaku melibatkan kecurian dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Zambry berkata, beliau akan membincangkan masalah di flat itu bersama-sama dengan pihak berwajib termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam usaha mencari punca dan penyelesaian yang berkesan.