IPOH: Kerajaan negeri akan menaikkan bayaran insentif kemenangan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 sebagai rangsangan kepada atlet agar dapat memastikan kontinjen negeri menjuarai temasya itu yang akan berlangsung September tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, bagi kategori individu pemenang pingat emas akan menerima RM5,000, pemenang pingat Perak RM3,000 manakala pingat gangsa RM1,000.

“Bagi kategori sukan berpasukan, setiap ahli pasukan iaitu RM2,500 bagi pingat emas, RM1,500 pingat perak dan RM750 bagi pingat gangsa,”katanya ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN – Bukit Chandan) pada Mesyuarat ketiga Penggal kelima, Dewan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurutnya, kenaikan insentif itu dilihat mampu mengalakkan peningkatan prestasi serta menaikkan semangat atlet negeri Perak yang juga tuan rumah dalam kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri turut melancarkan program Kita Juara 2018 bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan sistematik dapat dirangka terhadap kontinjen Perak terutama dalam misi muncul juara edisi tahun depan.

Menurut beliau, sehingga kini, kira-kira 700 atlet bagi 29 jenis sukan termasuk kategori sukan individu dan berpasukan berada di bawah program tersebut.

“Prestasi atlet akan dinilai semula melalui proses pemilihan fasa kedua pada Disember 2017 ini. Senarai terakhir atlet yang layak ke Sukma 2018 akan diputuskan pada sesi pemilihan terakhir pada Mac tahun depan,” ujarnya.

Selain itu, kata Shahrul Zaman, kerajaan negeri mewujudkan inisiatif baharu melalui Program Podium Perak (P3) sebagai salah satu pentas persediaan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia dari kalangan atlet elit berprestasi tinggi negeri.

Beliau berkata, atlet yang dipilih menyertai P3 terdiri daripada pemenang pingat SUKMA 2016 dan atlet yang berada di ranking tiga terbaik di kejohanan kebangsaan atau remaja kebangsaan.

“Seramai 67 atlet kini berada dalam P3 yang terdiri daripada 31 atlet sukan individu dan 36 atlet sukan berpasukan yang mana pencapaian atlet ini dinilai dengan teliti dari semasa ke semasa melalui kejohanan peringkat kebangsaan,” katanya.