BERLIN: Juara Eropah, Bayern Munich tumpas buat kali pertama dalam tempoh 10 bulan apabila rentetan 23 perlawanan tanpa kalah mereka ditamatkan 4-1 dalam saingan Bundesliga berdepan Hoffenheim awal pagi tadi.

Hoffenheim mendahului 2-0 menerusi gol awal pertahanan Ermin Bicakcic dan penyerang Munas Dabbur.

Walaupun Joshua Kimmich memberikan Bayern talian hayat sebelum rehat, penyerang Croatia, Andrej Kramaric meledak gol pada babak kedua selain menyempurnakan penalti lewat.

Kemenangan mengejutkan itu memberikan Hoffenheim kedudukan teratas liga manakala Bayern berada di kedudukan asing, ketujuh selepas dua perlawanan.

Ia adalah kali pertama Bayern tewas di bawah kendalian jurulatih Hansi Flick dalam semua kejohanan sejak tumpas 2-1 kepada Borussia Moenchengladbach pada 7 Disember 2019.

“Tahniah kepada Hoffenheim, mereka menutup ruang buat kami dan hanya memberikan kami beberapa peluang,” kata Flick.

“Kami tidak mampu menyempurnakan peluang dengan gaya biasa kami.” – AFP