Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Saya fikir beg kertas biasa, tengok-tengok ada kain batik dan suara bayi menangis”.

Ahmad Helmi Ahmad Khairi, 24, berkata beliau terkejut apabila melihat seorang bayi yang masih bertali pusat dalam beg kertas yang disangkut di cermin sisi sebuah kereta pada 12.15am malam tadi.

Katanya, pada waktu itu beliau sedang menaiki motor sebelum ternampak sebuah beg kertas dengan lambang “Sembonia” tergantung di cermin sisi sebuah kereta yang diparkir di kawasan Flat Ashby Road, dekat ini.

“Pada mulanya saya tidak menghiraukannya…tapi entah kenapa, saya tergerak hati untuk patah balik ke Perodua Viva itu, dan memeriksa beg itu, mungkin ada penghuni di kawasan ini tertinggal barang, saya boleh kembalikan.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi rengekan bayi…sayup-sayup sahaja, menangis dalam suara yang amat perlahan.

Saya terus ambil dan bawanya berjumpa dengan kawan-kawan. Tak sangka tindakan saya dapat selamatkan bayi itu,”katanya yang masih tergamam namun bersyukur bayi tersebut masih lagi bernyawa.

Sementara itu, Muhamad Mushairi Mohd Johari, 28, yang menghubungi pihak berkuasa sebaik sahaja mendapat tahu mengenai bayi itu berkata beliau pada mulanya mengganggap rakannya hanya bergurau.

“Saya masih ingat, masa itu dia bawa beg kertas dan dia kata kepada saya..”Ayie, budak”, tapi saya tak percaya. Bila dia ulang semula kali kedua, saya terus mengambil beg itu.

“Pada mulanya saya lihat ke dalam beg yang basah dan lembab itu, saya nampak kain batik dan tangan kiri bayi kecil itu. Saya terus meletakkannya ke atas meja dan mengoyak beg kertas.

“Saya dapati dalamnya ada bayi, berbalut kain batik dan masih berdarah, bertali pusat menangis perlahan,…saya tidak dapat bayangkan macam mana orang tergamak buat macam ini,”katanya lagi.

Mushairi, atau dikenali sebagai Ayie berkata beg tersebut turut mengandungi sekeping nota tertulis ‘3/7/2018 dan 6.20 am” yang berkemungkinan menandakan tarikh dan masa kelahirannya.

“Sedih, kerana kawan-kawan kata beg kertas itu dah berada di situ sejak pukul 8 malam, maksudnya empat jam bayi itu kena hujan, dan saya sangat bersyukur, panjang umur dia.

“Kalau tiada halangan, saya nak bela bayi itu, bagilah kepada saya, saya sanggup terima dia dan jaga dia, daripada dibuat sebegitu,”katanya hiba.