IPOH: Keadaan terkini bayi lelaki yang dipercayai dicampak sebaik dilahirkan ke atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham dekat sini Sabtu lalu kini stabil setelah dilaporkan kritikal sebelum ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Noordin ketika mengulas mengenai perkara itu berkata kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak polis.

“Kanak-kanak tersebut saya difahamkan berada dalam kesihatan yang baik dan masih berada di hospital di bawah siasatan polis jadi biasanya kes seperti ini selepas selesai dan dalam keadaan kesihatannya beransur baik dan sebagainya biasanya akan dirujuk kepada JKM.

“Di JKM kita ada tempat untuk menempatkan kanak-kanak atau bayi seperti ini, buat masa sekarang bayi tersebut masih di bawah jagaan pihak hospital dan Jabatan Kesihatan yang dipantau oleh pihak polis dan JKM.

“Ibunya pun kita pantau kesihatannya juga bukan saja dari segi kesihatan yang perlu dipantau tapi dari segi perasaan psikologi dan emosinya melalui unit kaunseling kita mendekati ibunya kerana masih di bawah umur,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan dan pemeriksaan di taska dan pusat jagaan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perak di Taska Kinder Joy dan Pusat Jagaan Sri Joy, Jalan Permaisuri Bainun di sini pada Selasa.

Baru-baru ini, media melaporkan bayi lelaki masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres di Bercham, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada 12.35 tengahari daripada orang awam.

Ujarnya,bayi itu dicampak oleh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.

Dilaporkan bayi berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.