IPOH – Bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal di Manjung awal pagi semalam dipercayai telah didera serta dibiarkan menderita dengan kecederaannya beberapa hari sebelum dihantar ke hospital.

Ketua Jabatan Siastan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siastan awal mendapati tubuh bayi tersebut mempunyai beberapa kecederaan seminggu lepas selain kesan kecederaan lama disebabkan penderaan.

“Kita tengok kecederaan bayi itu adalah kecederaan lama termasuk yang terbaru lebih kurang seminggu lamanya. Penderaan mungkin dah lama berlaku bila dah serius baru keluarga dapat tahu.

“Susulan itu kita ada membuat tiga tangkapan yang mempunyai hubungan dengan bayi itu termasuk pengasuhnya dan mereka semua direman selama seminggu,” kata beliau ketika ditemui selepas sambutan hari polis peringkat negeri Perak di sini pada Ahad.

Tambahnya lagi, keadaan bayi itu ketika dihantar ke hospital berada dalam keadaan lemah serta serius sebelum meninggal dunia empat jam kemudian ketika mendapatkan rawatan.

“Bayi berkenaan berada dalam keadaan koma, dia dihantar awal pagi ke Hospital bila keadaanya sudah serius.

“Jadi kes ini telah ditukar daripada kes penderaan kanak-kanak kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh” ujarnya

Pada Sabtu, bayi tersebut dihantar ke Hospital Sri Manjung oleh penjaganya pada jam 2 pagi sebelum disahkan meninggal dunia sekitar 6.45 pagi ketika mendapatkan rawatan.

Doktor mengesahkan mangsa maut akibat jangkitan kuman dengan masalah pembekuan darah disebabkan kecederaan yang disengajakan serta pendarahan kepada kepala dan patah tulang rusuk kiri.