IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan menyediakan laporan sosial berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang didakwa akibat didera, semalam.

Pengarahnya, Ruhaini Zawawi berkata, laporan itu bagi mengenalpasti sama ada wujud unsur kecuaian sepanjang penjagaan bayi berkenaan.

“Kita akan menemui keluarga bayi itu dan pihak pengasuh untuk mendapatkan keterangan kedua-dua pihak.

“Semakan terhadap laporan sosial ini penting bagi memastikan kes dapat dikendalikan dengan teliti dan tepat,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing bersama media dan ketua-ketua agensi, malam tadi.

Menurutnya, laporan awal mendapati, pengasuh berkenaan tidak mendaftar dibawah JKM sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Dalam hal ini, tindakan dibawah peruntukan JKM sukar diambil, namun jika wujud salah laku penderaan, tindakan sama boleh dikenakan dibawah seksyen kanun jenayah,” katanya.

Sementara itu, May Ing dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri bersama agensi terlibat akan mempergiat kempen agar lebih banyak pengasuh di rumah dan pusat jagaan kanak-kanak (Taska) mendaftar dengan JKM.

Katanya, maklumat daftar itu penting agar pemantauan jabatan dapat dijalankan bagi memastikan penjagaan kanak-kanak dilakukan mengikut garis panduan yang betul.

“Ini juga sebagai jaminan kepada anak-anak, jadi tanggungjawab ibu bapa pilih pusat jagaan yang tepat, cari mana yang berdaftar dengan JKM,” katanya.

Semalam, seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di hospital akibat mengalami pendarahan dalam otak, disyaki didera.

Bayi berkenaan sebelum itu, ditemui dalam keadaan kaku di kediaman pengasuhnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung – sinar harian