IPOH: Penutupan beberapa laluan utama dan alternatif di Ipoh dibuat bertujuan memperketatkan kawalan pergerakan orang ramai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kawalan itu juga bagi memastikan tiada individu lari daripada sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut dijalankan pihak berkuasa.

Menurutnya, apabila fasa penguatkuasaan PKP, semua lorong tikus dan jalan tertentu ditutup agar orang ramai menggunakan satu laluan sahaja untuk keluar masuk.

“Ini satu cara kita mendisiplinkan orang ramai supaya jangan berseronok keluar masuk kawasan dengan mengelak sekatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan anggota polis mengawal penutupan jalan menggunakan kon yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

A Asmadi berkata, langkah itu antara lain bagi memudahkan pemantauan dengan memastikan mereka yang keluar benar-benar atas urusan penting dan bukan disebabkan tujuan lain.

Menurutnya, adalah sukar untuk menempatkan anggota di semua laluan kerana masih banyak tempat tumpuan lain seperti pasar awam yang memerlukan pemantauan.

“Jadi dengan cara ini kita boleh hadkan pergerakan, orang ramai juga tidak lagi boleh lari dari sekatan dan pemeriksaan mengejut,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai penutupan jalan melibatkan kawasan Sungai Rokam, Gunung Rapat, Pekan Razaki, Taman Golf, Kampung Melayu, Ampang dan Ipoh Jaya.

Turut dikongsi gambar penutupan jalan pintasan Desa Pakatan menghala ke pasar raya TF Value Mart dan jalan pintasan dari Kampung Dato’ Ahmad Said ke Taman Wing Oon-Jalan Kuala Kangsar.