MELAKA: Seorang wanita diseret kira-kira tiga meter selepas beg tangannya diragut berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Lagenda di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 37 tahun ke pasar raya itu bersama suami dan tiga anaknya berusia antara lapan hingga 10 tahun.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai San berkata, dia tiba di pasar raya itu jam 7 malam untuk membeli barangan keperluan harian sebelum bergerak ke kawasan parkir kenderaan.

“Ketika itu, kami sedang memasukkan barangan yang dibeli ke dalam kereta, sebelum didatangi sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

“Kejadian berlaku pantas, tiba-tiba beg tangan saya diragut dan saya terjatuh serta terseret kira-kira tiga meter,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun katanya, beg tangan yang dipegang erat di tangan kiri tidak sempat diragut tetapi dia kecewa kerana gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal berkenaan disebabkan keadaan gelap.

“Suami yang turut ada di lokasi meminta tolong dan mengejar motosikal terbabit tetapi tidak berjaya.

“Kejadian itu menyebabkan saya cedera di kepala, tangan dan kaki,” katanya yang mengakui masih trauma.

San berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Melaka Tengah di sini jam 11 pagi tadi – berita harian