IPOH : Kualiti air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di Parit Buntar bertambah baik dan bekalan air bersih telah disalurkan kepada pengguna secara berperingkat bermula jam 3 petang hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari, bekalan air bersih itu juga dijangka pulih sepenuhnya lewat malam ini.

“Lanjutan dari masalah gangguan bekalan air di kawasan Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau, Lembaga Air Perak (LAP) telah mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini. Sehingga kini, melalui pemantauan yang dibuat menunjukkam kualiti air mentah bertambah baik.

“LRA Jalan Baru telah mula beroperasi apabila kualiti air terusan kembali normal, LAP mengucapkan terima kasih kepada semua ahensi yang memberikan kerjasama dalam membantu menyelesaikan masalah ini.

“Pihak LAP juga memohon maaf diatas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna-pengguna di kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, sebahagian besar kawasan di daerah Kerian mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi pada Selasa selepas sumber air mentah bagi penyaluran air bersih kepada kira-kira 19,000 akaun penduduk, didapati tercemar.

Abdul Yunus berkata, sumber air mentah bagi LRA Jalan Baru diperoleh dari Terusan Besar yang disalurkan dari Tasik Bukit Merah.

Katanya, bagi kawasan Kuala Kurau air disalur dari LRA Semanggol manakala air dibekalkan menerusi lori tangki di kawasan lain bagi memastikan pelanggan menerima bekalan air yang selamat.