IPOH, 13 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bahawa bekalan barang kawalan dan keperluan adalah mencukupi dan mudah diperolehi.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarulzaman berkata, pemantauan ke atas premis perniagaan di seluruh negeri mendapati bekalan keperluan asas adalah mencukupi bagi menghadapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

“Susulan pengumuman PKPB dan Proklamasi Darurat semalam, KPDNHEP Perak menasihati pengguna agar tidak membuat pembelian panik sebaliknya membeli barang yang perlu sahaja.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan memantau dan memeriksa premis perniagaan dan kedai runcit setiap hari bagi memastikan bekalan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Ekshibit KPDNHEP Perak di sini, hari ini.

Antara barangan yang dilupuskan ialah 23,915 pasang kasut pelbagai jenama tiruan yang bernilai RM1.2 juta, pelbagai cakera optik cetak rompak dan barangan kawalan lain.

Saifullizan berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi belum menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barangan kawalan oleh peruncit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna untuk membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya barang keperluan tidak mencukupi atau wujud kenaikan harga barang di kawasan mereka.