PARIT: Perayaan Deepavali tahun ini sangat bermakna kepada enam buah keluarga di Kampung Sadang Kem, dekat sini apabila akhirnya rumah yang mereka diami kini dibekalkan dengan bekalan elektrik.

Perkampungan masyarakat India itu yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit milik syarikat swasta dikatakan tidak mempunyai kemudahan elektrtik sejak sepuluh tahun lalu.

Menurut salah seorang penduduk, L. Nintianadhan, sebelum ini, mereka hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan generator tersebut bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah penggunaanya juga terhad untuk masa-masa tertentu sahaja.

“Kebanyakkkan penduduk di situ bekerja sendiri sebagai penternak lembu dan kambing, sudah tentu kos yang tinggi membebankan kami,” katanya ketika ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria di kampung tersebut.

Nintianadhan berkata, sebelum ini, mereka tidak boleh mengadakan majlis sambutan perayaan Deepavali kerana sukar untuk memasak juadah kepada tetamu-tetamu yang hadir.

“Sebelum ini takde elektrik, kita tidak boleh beli barang-barang yang cepat rosak macam ayam, jadi kalau ada elektrik, kita ada peti sejuk dan boleh simpanlah,” ujarnya.

8215f7a1-b535-418f-a2e1-c8d63a766e57Sementara itu, Drs Nizar berkata, isu ketiadaan bekalan elektrik di perkampungan tersebut berpanjangan sejak sepuluh tahun yang lalu kerana ia melibatkan penggunaan tanah milik estet tersebut.

Ujarnya, untuk menyediakan bekalan elektrik, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu melalui tanah estet tersebut untuk memasang tiang-tiang elektrik daripada jalan besar.

Katanya, setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama-sama pemilik estet tersebut, TNB dan kerajaan negeri, akhirnya kampung tersebut mendapat bekalan elektrik sejak awal Ogos lalu.

“Cabaran adalah dari segi kewangan dan pada masa yang sama kita melalui proses di dalam kawasan estet, ada sedikit kesukaran namun kesukaran itu dapat kita atasi dengan perbincangan-perbincangan yang cukup rapi,” kata beliau.

Tambahnya, dengan kos lebih RM400,000, sebuah pencawang dengan tiang elektrik lengkap dengan lampu jalan telah berjaya dibina di kampung tersebut.

Menurutnya lagi, walaupun sekarang kampung tersebut hanya mempunyai enam buah rumah, namun dengan adanya bekalan elektrik, dijangkakan, lebih banyak rumah akan dibina memandangkan kampung tersebut mempunyai banyak lagi tanah-tanah milik persendirian.

Drs Nizar berkata, selepas ini, pihaknya akan cuba untuk mendapatkan peruntukkan bagi membina jalan masuk yang lebih sempurna dan untuk menyediakan bekalan air bersih.