PARIT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di tiga premis di sekitar bandar Seri Iskandar di sini selepas menerima laporan premis berkenaan terbabit aktiviti judi haram.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, pemotongan bekalan elektrik dilakukan melalui operasi bersepadu bersama TNB.

“Operasi pemotongan dijalankan dengan kehadiran seorang pegawai dan dua anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama tiga kakitangan TNB.

“Operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya di sini hari ini.

Barudin berkata, pemotongan bekalan di premis pertama membabitkan sebuah kedai runcit di Persiaran SIBC 1.

Katanya, kedai berkenaan pernah diserbu sebelum ini membabitkan tiga kes menjual loteri awam secara haram.

Operasi kedua membabitkan sebuah kedai telekomunikasi di Persiaran Iskandar Perdana 27, juga pernah diserbu membabitkan dua kes menjual loteri awam haram.

Beliau berkata, sebuah lagi premis yang dipotong bekalan elektrik membabitkan kedai telekomunikasi tanpa nama di Felcra Nasaruddin dengan pemotongan bekalan di ketiga-tiga premis dibuat mengikut Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE