Oleh: Fakhirul Akhbar

IPOH, 27 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bahawa bekalan makanan di negeri ini mencukupi bagi menghadapi musim banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, hasil daripada tinjauan KPDNHEP di seluruh Perak mendapati bekalan makanan dan barangan keperluan asas masih mencukupi serta mudah diperolehi.

“Pihak kami melakukan tinjauan bekalan makanan setiap hari di semua daerah di negeri Perak bagi memastikan ianya mencukupi dan dijual pada harga yang ditetapkan.

“Oleh itu, kami meminta kerjasama semua pengguna agar tidak panik dan risau berkenaan isu bekalan makanan dan barangan keperluan asas di Perak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Walkabout bersama Pengarah KPDNHEP di Jalan Bijih Timah di sini, hari ini.

Pada program tersebut, Saifullizan meninjau bekalan makanan dan barangan kawalan seperti minyak, gula dan beras di tiga buah kedai pemborong barang keperluan di sekitar bandar raya ini.

Menurut beliau, dari 18 Mac sehingga 26 November lalu, sebanyak 49,363 premis telah diperiksa dan 321 kes melibatkan perlanggaran peraturan di bawah bidang kuasa KPDNHEP telah direkodkan dengan nilai kompaun sebanyak RM118,650 telah dikeluarkan.

Sementara itu, Saifullihan turut mengingatkan pemborong dan peruncit supaya tidak melakukan aktiviti tidak beretika seperti menyorok bekalan atau menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap peruncit mahupun pemborong yang ingkar.