Oleh: Mohd. Shafiq Noordin

IPOH: Bekalan santan di seluruh negara dijangka mencukupi untuk menampung permintaan tinggi menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, harga bahan itu juga dijangka kekal di antara RM8 hingga RM9 sekilogram.

Menurut beliau, kementerian melalui Jabatan Pertanian telah melakukan pemantauan bekalan bahan mentah itu dan mendapati tidak berlaku sebarang kenaikan harga setakat ini.

“Laporan yang diterima oleh Jabatan Pertanian mendapati bekalan santan masih cukup dan gargantuan dijangka tidak akan naik sama sekali dan kekal pada harga RM8 – RM9 sekilo.

“Sudah tentu kita tidak boleh memberi jaminan ianya tidak akan naik harga atau sebagainya tetapi kita boleh pegang pada laporan Jabatan Pertanian bahawa ianya mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman Bersama UMNO Perak di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kementeriannya juga mengambil inisiatif mengimport kelapa dari luar negara seperti Indonesia dan Filipina bagi memastikan permintaan dapat dipenuhi sekaligus mengelak kenaikan harga.

Justeru, beliau memberitahu ura-ura kononnya harga santan dan kelapa akan dinaikkan oleh pengusaha tidak lama lagi kerana kekurangan bekalan, adalah tidak tepat sama sekali.

“Itu mungkin jangkaan mereka sahaja, mereka tahu ke bekalan barangan ini ada berapa banyak?

“Ya, mungkin secara logiknya mereka fikir musim perayaan permintaan tinggi dan bekalan akan berkurangan.

“Namun mereka tidak tahu kita telah memberi kebenaran mengimport kelapa itu lebih daripada biasa supaya kita dapat menampung peningkatan permintaan,” ujar beliau.