SUNGAI SIPUT: Seorang bekas banduan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dalam satu pergaduhan, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Rozaimy Amer, 30, kelihatan tenang serta mengangguk faham pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tiada pengakuan direkodkan mahkamah.

Penganggur berkenaan didakwa membunuh Muhammad Izar Mohammad Anuar, 22, di hadapan rumah beralamat No 9338, Lot 10, Kampung Jalong, di sini, pada jam 1.30 petang, 1 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shabudin, dalam satu kenyataan hari ini, berkata tertuduh baru dibebaskan daripada hukuman penjara 10 bulan di Penjara Tapah pada 27 Ogos lalu.