KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan bekas jurulatih terjun negara, Huang Qiang daripada satu pertuduhan rogol, kali ke-3 dia dibebaskan daripada dakwaan sama.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, terdapat keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Selepas membaca rekod rayuan, saya dapati hakim tidak terkhilaf dalam penghakimannya untuk membebaskan tertuduh.”

Huang dari China menjadi warganegara Malaysia pada 2011.

Dia didakwa merogol seorang atlet terjun di sebuah gim di Pusat Akuatik Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling pada 26 Sept 2017.

Nazlan berkata, Huang membangkitkan isu “selang masa” bagi menunjukkan tiada masa mencukupi untuk jenayah rogol itu berlaku.

Katanya, terdapat juga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari itu.

Ini adalah kali ke-3 Huang dibebaskan mahkamah.

Dia pertama kali dibebaskan pada April 2018, selepas Mahkamah Sesyen memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Selepas rayuan pendakwaan, Huang diarahkan membela diri di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, tetapi dia sekali lagi dibebaskan tahun lalu.

Peguamnya Mohd Hisham Md Nen berkata, pihak pembelaan memanggil 2 saksi, termasuk bekas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, untuk menyokong kes mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Asyikin Mokhtar mewakili pihak pendakwaan. -FMT