IPOH: Kawasan bekas lombong seluas 110 hektar di Kinta dan Kampar akan dimanfaatkan oleh kerajaan negeri Perak untuk dimajukan bagi projek perikanan bandar yang akan diusahakan oleh 11 komuniti nelayan tidak lama lagi.

Kawasan-kawasan yang terlibat ialah bekas lombong di Kampung Changkat Tin, Makam Teja dan Kampung Redang Sawa yang kesemuanya terletak di Kinta manakala  di Kampar seperti  Taman Aman dan Malim Nawar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari memberitahu, peruntukan RM1.7 juta telah pun disediakan bagi menjayakan program itu yang dijangka dimulakan Oktober ini.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Perikanan negeri Perak akan melibatkan penyertaan penduduk setempat seperti golongan berpendapatan rendah B40 dan mereka yang hilang pekerjaan disebabkan Covid-19.

“Ia juga bagi memenuhi permintaan ikan air tawar yang sangat baik di kawasan bandar terutamanya di Kinta dengan jumlah penduduk hampir 900,000 orang.

“Ikan-ikan yang diternak pula adalah jenis yang digemari ramai dan mengikut selera orang bandar seperti ikan tilapia merah, patin, jelawat, lampam dan lain-lain spesies yang bernilai tinggi,” ujarnya pada sidang akhbar di pejabat beliau di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan negeri Perak, Zaki Mokri.

Ketika ini seluas 2,250 hektar kolam bekas lombong telah dibangunkan untuk penternakan ikan dengan nilai ekonomi yang dicatatkan pada tahun lalu ialah kira-kira RM122 juta.

Mengulas lanjut, Yunus berkata, kawasan kolam bekas lombong itu juga akan diwartakan sebagai kawasan perairan umum yang akan memberi manfaat kepada nelayan darat untuk menambah hasil tangkapan. 

“Selain itu kolam-kolam bekas lombong ini boleh dimajukan dengan aktiviti perikanan rekreasi dan agro pelancongan sebagai tarikan,” katanya. -UTUSAN