KUCHING: Seorang pekerja pembersihan cemas selepas menemui satu bekas makanan disangka mengandungi bom di hadapan sebuah pejabat syarikat pembinaan di Metrocity, di sini, petang tadi.

Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan kawasan berkenaan terpaksa dikosongkan untuk membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, berkata pihaknya yang mendapat maklumat itu bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, pegawai dan anggota UPB yang menjalankan siasatan mendapati bekas makanan berkenaan hanya berisi wayar.

“Selepas pemeriksaan lanjut, lokasi disahkan selamat. Siasatan awal mendapati bekas makanan itu diletakkan individu tidak dikenali yang tidak berpuas hati dengan pembangunan yang dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya.

Ah Lek berkata, polis masih mengesan individu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ancaman jenayah.

Katanya, operasi semua premis di lokasi berkenaan diteruskan semula selepas disahkan selamat – berita harian