KUALA LUMPUR: Bekas menteri besar Johor paling singkat, Osman Sapian tersenarai dalam nama calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjng Piai yang dijadualkan berlangsung pertengahan November depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PPBM, Marzuki Yahya di lobi Parlimen, hari ini.

“Setakat ini nama dia ada tersenarai tapi kita belum buat keputusan,” katanya sambil menambah nama tersebut dicadangkan oleh pemimpin dan ahli akar umbi negeri Johor.

Osman sebelum ini dilaporkan menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin yang dimainkan pihak tertentu menjelang penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November ini.

“Saya tidak tahu apa-apa. Saya sendiri terperanjat. Pagi ini, telefon saya berdering-dering yang mana banyak pihak menghubungi saya serta mengucapkan tahniah atas pencalonan saya,” katanya dipetik Sinar Harian, semalam.

Beliau dilaporkan berkata, dirinya tidak menerima sebarang jemputan daripada parti berkenaan pencalonannya.

Terdahulu, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu akan mengumumkan calon pada hujung minggu ini.

Menurut Muhyiddin, satu program khas untuk memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) akan dibuat pada hari penamaan calon.

Osman merupakan menteri besar yang dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri itu iaitu tidak sampai 11 bulan.

Adun Kempas itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei tahun lepas, susulan kemenangan PH sewaktu PRU14.

Osman, ketika dilantik merupakan setiausaha PH dan PPBM Johor, menggantikan Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.

Pada 8 April lalu, beliau meletak jawatan dengan menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan di Putrajaya dan dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November manakala tarikh buang undi dijadual pada 16 November depan.