KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengambil alih jawatan Pengerusi berkuat kuasa esok.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata Zambry akan menggantikan Tan Sri Zainun Ali yang melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.

“Lembaga Pengarah MAHB hari ini meluluskan pelantikan Zambry sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif berkuatkuasa 12 Ogos 2020,” katanya.

Zambry, 58, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor.

Zainun,68, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Pengerusi MAHB pada 18 Januari 2019.

Kontraknya selama dua tahun sepatutnya berakhir pada Januari 2021.

Beliau adalah pengerusi wanita pertama MAHB.