Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas dan membebaskan seorang bekas pemandu teksi daripada pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat hampir enam kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu terhadap Johnson Ooi Teck Kuang, 38, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, mahkamah mendapati tertuduh tiada kaitan dengan kereta iaitu tempat dadah dijumpai, selain kereta itu bukan miliknya.

Mengikut pertuduhan, Teck Kuang didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 5.98 kg di lot parkir nombor 68, tingkat 4, di sebuah hotel di Jalan Pahang di sini pada jam 8.45 malam, 11 Ogos 2016.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang manakala tertuduh diwakili peguam Surjan Singh Sidhu.

Sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada Mei tahun lalu, pihak pendakwaan memanggil 13 saksi, manakala pembelaan memanggil seorang saksi iaitu tertuduh untuk memberi keterangan – berita harian