IPOH: Seorang pengarah sebuah syarikat besi sekerap mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas enam tuduhan memalsukan dokumen slip timbangan mulai Januari 2011 hingga Januari 2013.

Thai Wai Kuan, 51, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut keenam-enam kertas pertuduhan, dia didakwa memalsukan dokumen iaitu slip timbangan syarikat Siputeh Sawit Sdn Bhd dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu Syarikat Camfill Farr Malaysia.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam terus dengan pengakuan bersalah selepas Hakim menerangkan hukuman yang mungkin dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 468 Kanun Kesiksaan.

Hakim kemudiannya meminta bantuan peguam Mohd Fadly Hashim yang kebetulan berada di dalam mahkamah untuk kes lain, membantu tertuduh dari segi rayuan.

Apabila mahkamah bersidang semula selepas ditangguhkan seketika, tertuduh tetap dengan pengakuan bersalah.

Selepas mendengar rayuan tertuduh melalui Peguam Mohd Fadly, Hakim S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara dua minggu terhadap Wai Kuan di samping denda RM4,000 untuk setiap pertuduhan.

Hakim S. Indra Nehru turut menjatuhkan hukuman penjara sebulan bagi setiap kesalahan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.