KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah urusan Felcra Training & Consultancy Sdn Bhd mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana menerima suapan berjumlah RM1.648 juta.

Rohaizat Ahmad, 54, yang didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, meminta dibicarakan selepas 2 jurubahasa mengambil 25 minit untuk membacakan 33 pertuduhan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohaizat antara lain didakwa menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pegawai badan awam untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya antara April 2014 hingga Jun 2018.

Dia didakwa melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya dan saudaranya yang mempunyai kepentingan dalam syarikat itu sebagai pembekal peralatan elektronik.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM Suruhanjaya 2009, dia boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 berdasarkan mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan syarat pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Hakim turut menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Rohaizat ditahan SPRM pada September 2018.