BATU GAJAH, 28 DIS: Setelah 42 tahun tinggal di rumah pusaka yang kian uzur dan hampir roboh, akhirnya Norazam Abdul Rahman, 48, mampu menarik nafas lega apabila menerima rumah percuma Baiti Jannati daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Hari ini, Norazam yang lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar empat tahun lalu, menerima notis kelulusan rumah percuma tersebut yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din yang melawat rumahnya di Kampung Tersusu Batu Gajah di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendiami rumah milik keluarganya itu sejak dari tahun 1979 dan rumah itu tidak lagi kukuh akibat dimakan anai-anai.

“Sebelum ini, saya sangat risau tentang keadaan rumah ini yang hampir runtuh akibat dimakan anai-anai.

“Selepas mendapat berita bahawa permohonan saya telah diluluskan, saya berasa sangat gembira kerana dapat menyediakan tempat tinggal yang lebih selamat untuk keluarga saya,” katanya.

Menurut Norazam, sebelum ini, beliau berkerja sebagai seorang pereka grafik, namun setelah diserang angin ahmar, beliau tidak mampu lagi untuk bekerja.

Tambahnya, pendapatan keluarganya kini hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh Baitulmal dan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak TNB yang sudi membantu dan peka terhadap nasib beliau sekeluarga dan berharap agar program tersebut dapat diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB Perak, Mohd Toha Abdul Manaf berkata, program Baiti Jannati merupakan kerjasama TNB dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi membina sebuah rumah percuma.

“Peruntukan kewangan bagi rumah ini telah disalurkan kepada MAIPk dan mereka akan melantik kontraktor bagi membina rumah tersebut.

“Kerja-kerja pembinaan rumah Norazam dijangka akan bermula pada awal tahun hadapan dan dijangka siap pada bulan Mei iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri akan datang,” katanya.

Mohd Toha menambah, program tersebut telah diperluaskan ke seluruh negeri Perak dan seramai 34 penerima telah dipilih bagi menerima rumah percuma Baiti Jannati pada tahun ini.