KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima tudunan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.

Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azhar didakwa meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih sebagai menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaran Bagi Peralatan Perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang, Kampung Baru, pada 22 Julai 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, Mohd Azhar didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambah perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau menganggu dengan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Ariff Azami Hussein, memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan mempunyai isteri dan tujuh anak serta perlu menanggung ibu mentua.

“Tertuduh kini tidak bekerja dan dua anaknya masih bersekolah selain sudah memberi kerjasama yang baik sejak ditahan oleh SPRM.

“Tertuduh juga hanya dimaklumkan semalam bahawa akan dituduh hari ini dan hanya mampu mengumpulkan RM30,000, selain tidak mempunyai risiko melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut memerintah tertuduh dilarang menganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini, manakala selebihnya dibayar pada minggu hadapan. – Berita Harian