MANJUNG, 25 DIS : Mengamalkan perbelanjaan berhemah sejak awal tahun ini menjadi faktor utama Manjung City FC tidak berdepan masalah untuk ber­saing di Liga M3 2021 yang dibelenggu pandemik Covid-19.

Setiausaha Kehormatnya, Issamudin Ibrahim berkata, antara penjimatan tersebut seperti tidak mengambil pemain import dan memberi kepercayaan penuh kepada ‘produk’ muda tempatan yang sentiasa dahagakan kemenangan.

“Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada per­belanjaan Manjung City pada musim 2021.

“Sebagai pasukan amatur, kita tidak menjanjikan gaji tinggi tetapi yang penting kestabilan dan peluang bermain di peringkat tertinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Liga Bola Sepak Amatur (AFL) semalam mengesahkan, 19 pa­sukan Liga M3 yang bertanding tahun ini berhasrat menyertai saingan tersebut sekali lagi musim depan.

Mengulas lanjut, Issamudin berkata, kelab tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Manjung menyediakan platform pada pemain tempatan, terutama dari daerah itu.

“Kami baru selesai membuat pemilihan dalaman pada 10 dan 11 Disember 2020 lalu.

“Seramai 26 pemain telah dipilih yang mana polisi Manjung City adalah had umur pemain mesti di bawah 25 tahun dengan dibantu tiga pemain senior.

“Ini adalah polisi kami sejak kelab ditubuhkan dan bukan perkara baharu,” katanya.

Dua pasukan terbaik Liga M3 akan menerima slot untuk ­beraksi ke Liga Perdana 2022. – UTUSAN