KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2021 hari ini buat kali pertama menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dihadkan kepada 80 orang bagi mengekang penularan COVID-19.

Kehadiran itu membabitkan 41 Ahli Parlimen kerajaan dan 39 pembangkang termasuk Bebas dengan penentuan wakil rakyat yang dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat ditetapkan oleh parti masing-masing.

Bagi Ahli Parlimen lain pula, mereka dibenarkan berada di perkarangan kompleks Parlimen termasuk di pejabat masing-masing di blok baharu.

Ahli Parlimen yang dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat diberikan kad khas yang akan diagihkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mewakili kerajaan sebagai rekod kehadiran ke Parlimen.

Wakil rakyat pembangkang dan Bebas, kad khas itu akan diagihkan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Ahli Parlimen yang tidak diberikan kad khas pula boleh merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing manakala bakinya, boleh merekodkan kehadiran di Pintu 3 Blok Utama dan pintu masuk Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan bantuan bentara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam pemasyhurannya semalam, memaklumkan hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat bermula hari ini sehingga tarikh akhir persidangan kali ini.

Katanya, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat kelmarin yang dipersetujui secara konsensus oleh semua Ketua Whip parti berikutan penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya, langkah yang diambil itu bersifat sementara untuk mengimbangkan tanggungjawab Ahli Parlimen dengan kepentingan menjaga kesihatan ketika berada di Parlimen.