IPOH, 18 DIS: Perancangan Belanjawan 2021 telah dibuat dengan mengambil kira situasi semasa berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, berikutan itu, program pembangunan yang dirancang bagi tahun hadapan memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negeri.

Katanya, pada masa yang sama ia dirancang untuk mengurangkan impak yang dialami oleh pelbagai sektor ekonomi dan golongan-golongan terkesan.

“Belanjawan itu sangat penting kerana ia merangkumi pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan untuk menjana semula ekonomi dan memulihkan kesejahteraan rakyat yang kini sedang diuji dengan hambatan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Tambah Saarani, kerajaan negeri akan membangunkan pelan jangka panjang 2021 – 2030 yang lebih menekankan pembangunan mampan dan inklusif bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19.

Katanya, ia termasuk memberi penekanan kepada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi limpahan ekonomi kepada negeri dan juga projek-projek perumahan mampu milik untuk golongan B40.