KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2021 diharap dapat memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan golongan sasar yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Selain itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata agenda Belanjawan 2021 juga perlu menumpukan kepada usaha mengatasi wabak tersebut.

“Kita juga perlu merancang dan mengambil tindakan-tindakan awal untuk melonjakkan ekonomi negara pasca COVID-19 tetapi saya kira paling penting kebajikan rakyat mesti diutamakan.

“Belanjawan 2021 mesti memberi fokus kepada usaha kita untuk mensejahterakan ekonomi rakyat,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, Belanjawan 2021 juga diharapkan dapat membantu kerajaan negeri memperkasakan semula rakyat.

Antaranya kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri Perak merancang untuk membuka tanah-tanah terbiar bagi tujuan pertanian.

“Jadi saya nampak dalam jangka masa pendek ini adalah peluang golongan yang terjejas teruk dan terpaksa dihentikan kerja untuk memasuki bidang pertanian dan kerajaan negeri dapat membuka tanah-tanah terbiar agar mereka dapat usahakan.

“Dalam masa yang sama saya harap Belanjawan 2021 dapat membantu usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan terjejas, mungkin dengan bantuan modal dalam bidang pertanian,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap import hasil pertanian.

Setakat 2019, jumlah import hasil pertanian mencecah hampir RM50 bilion.

Belanjawan 2021 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 Nov.