KUALA LUMPUR : Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan bahawa pembangunan Islam akan terus diperkukuh.

Justeru itu, menerusi pembentangan Belanjawan 2021, beliau mengumumkan RM1.4 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, bagi menghargai jasa 4,000 guru takmir sebagai antara penggerak komuniti di peringkat kariah, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun guru takmir daripada RM800 kepada RM900 sebulan.

“Sebagai tambahan, sukacita saya mengumumkan pemberian Bayaran Khas One-off sebanyak RM500 kepada para imam, bilal, siak, noja, merbut, guru takmir, dan guru KAFA.

“Pemberian bantuan khas ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, katanya Pelan Induk Wakaf Nasional yang akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.

“Pengurusan wakaf akan diperkasakan lagi dengan kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC),” katanya.

Selain itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB.

“Di bawah perkhidmatan ini, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit mereka ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak mendapat potongan cukai pendapatan.

“Pulangan berterusan dari tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB,” jelasnya.