IPOH, 18 DIS : Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, termasuk dari pembangkang yang telah memberi sokongan sebulat suara kepada Belanjawan 2021 yang diluluskan pada Jumaat.

Menurutnya, ia membuktikan kematangan politik yang tinggi di kalangan wakil rakyat di Perak.

“Berbanding dengan keresahan kegelisahan di kalangan rakyat menantikan tempoh pengundian di Dewan Rakyat yang menang tipis, tapi di negeri Perak ini kita melakukan sebaliknya, iaitu kita mendapat sokongan seratus peratus sebulat suara daripada 59 orang ADUN yang telah hadir.

“Lima penggal di Dewan Negeri ini, saya rasa ini persidangan yang paling tenang kerana semua orang memberi fokus dan membahaskan perkara-perkara yang menunjukkan keamanan, kedamaian dan kematangan berpolitik,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ditangguhkan di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, apa yang mereka lakukan itu sama seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya menghentikan politiking dan menumpukan usaha membangunkan negeri di samping menyelesaikan masalah rakyat, terutama dalam musim COVID-19 sekarang.

Belanjawan 2021 yang dibentang pada Rabu telah dibahaskan oleh 12 ADUN, masing-masing enam daripada kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berharap, kesepakatan itu akan menjadi titik tolak kepada kematangan berpolitik di Perak.

“Hari ini telah membuktikan satu kematangan kepimpinan, kepimpinan politik negeri Perak, terutama sekali kepimpinan di dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana boleh mengimbangkam di antara ADUN-ADUN pembangkang dan ADUN-ADUN kerajaan boleh mendapat satu kata sepakat untuk mentadbirkan negeri Perak dengan lebih baik, demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Aznel, sebenarnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak banyak memberi sumbangan kepada rakyat, khususnya dalam program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagaimanapun, kekurangan promosi dan penyebaran maklumat menyebabkan program-program itu mungkin kurang diketahui oleh wakil-wakil rakyat.

Beliau memberi contoh program ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan pinjaman tanpa faedah oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), banyak membantu golongan yang memerlukan.