GEORGE TOWN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus secara bulanan dan bukannya bantuan khas kewangan sepertimana pada tahun-tahun sebelumnya menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

Jelas Adnan, Kementerian Kewangan telahpun menghubungi pihaknya untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi mengetahui kehendak dan keperluan kira-kira 1.62 juta penjawat awam ketika ini.

Jelas Adnan, Kementerian Kewangan telahpun menghubungi pihaknya untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi mengetahui kehendak dan keperluan kira-kira 1.62 juta penjawat awam ketika ini.

Katanya, adalah tidak adil sekiranya kerajaan masih mengulangi pemberian bantuan khas kewangan RM500 sedangkan penjawat awam sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik biarpun ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Justeru itu tidak ada sebab kerajaan tidak melihat penjawat awam dan seterusnya menimbang secara tradisi bonus yang bersesuaian kepada seluruh penjawat awam sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

“Walaupun tahun sebelum ini kami telah minta tiga bulan bonus kami minta tapi kerajaan bagi RM500, jadi itu amatlah tidak adil, untuk kerajaan masih mengulangkan bantuan khas sebanyak RM500 sebaliknya kami perlu bonus yang ditetapkan secara bonus bulanan.

“Sama ada kerajaan hendak tetap satu bulan, dua bulan, tiga bulan dan sebagainya, kami mohon agar ianya dikeluarkan dibawah perkataan bonus dan bukan bantuan khas kewangan sebagaimana yang lazim kami dapat. Jadi perkara ini kami tidak sebut berapa bulan kerana kami akan bincang dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Adnan berkata demikian selepas Majlis Penghargaan kepada Petugas Barisan Hadapan di sini, pada Ahad.