KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Kerajaan telah menangani penularan COVID-19 dengan baik, tetapi itu tidak bermaksud semua pihak boleh berpuas hati.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Malaysia masih boleh belajar daripada negara-negara yang lebih berjaya.

Ujarnya lagi, beliau mencadangkan agar Kerajaan mengkaji segala teknologi baharu, yang boleh mengurangkan jangkitan penyakit, dan mampu memperbaiki ekonomi negara yang agak merudum.

“Pada permulaan kita memerlukan dua minggu untuk tentukan sama ada seseorang sudah dijangkiti penyakit virus ini. Sekarang kita boleh tentukan sama ada positif atau tidak dalam masa 1½ jam.

Ada juga jenis ujia yang boleh tentukan positif atau tidak dengan serta-merta. Dengan sistem ini kita boleh tentukan seseorang itu bebas atau tidak dari jangkitan.

“Kuarantin tidak perlu diadakan. Dengan menentukan seseorang itu bebas dari jangkitan, ia boleh dibenar bekerja dan membuat lawatan ke kawasan hijau.

Di tempat lawatan sekali lagi ujian boleh diadakan untuk menentu pelawat bebas dari jangkitan,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menggesa Kerajaan melihat kembali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang beliau anggap ada kelompongan, dan memberi kesan buruk kepada sektor pelancongan.

“Apabila orang yang sihat dikena kuarantin, termasuk semasa lockdown, daya keluar, produktivitinya tidak dapat menyumbang kepada ekonomi. Ekonomi negara akan merosot.

“Sesungguhnya lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti.

Apabila lockdown diadakan lebih ramai mereka yang sihat menjadi tidak produktif,” tegasnya lagi.

Dr Mahathir berkata, jika Kerajaan menggunakan ujian saringan yang mampu mengeluarkan keputusan dengan lebih pantas dan tepat, maka prosedur operasi standard (SOP) boleh diamalkan bagi memastikan lebih ramai orang dapat melancong atau bekerja.

Ujarnya lagi, langkah itu jika berjaya, sudah pasti dapat memberi sumbangan signifikan kepada pemulihan ekonomi negara.

“Memang kos pemeriksaan mahal. Kerajaan perlu bantu kos. Tetapi dengan ekonomi menjadi lebih maju, Kerajaan akan dapat pulangan sekurang-kurangnya separuh daripada sumbangan mereka yang sihat bekerja.

“Harus kita ingat bahawa kesan dari COVID-19 ini bukan sahaja terhadap kesihatan tetapi amat teruk kepada ekonomi. 

Lockdown memang satu cara membendung COVID-19 yang berkesan, tetapi ia menjejas ekonomi kita dengan teruk. Lebih lama lockdown lebih teruk lagi kemerosotan ekonomi,” katanya lagi.

Dr Mahathir berpendapat, pelaksanaan ‘lockdown’, hanya akan menekan rakyat yang miskin sehingga mereka kehilangan pendapatan dan tidak mampu sediakan makanan untuk diri dan keluarga masing-masing.

Ujarnya lagi, langkah Kerajaan menambah RM500 kepada mereka yang masih mempunyai pendapatan, dilihat tidak perlu.

“Apa perlunya Kerajaan menambah pendapatan mereka apabila gaji mereka lebih dari mencukupi membiayai keperluan hidup mereka.

“Sepatutnya bantuan diberi kepada pekerja yang hilang pekerjaan, dan hilang pendapatan sama sekali. Mereka tidak pun dapat membiayai makan harian,” katanya lagi.