IPOH, 18 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2021 berjumlah RM1.215 billion selepas dibentang dan dibahaskan selama tiga hari bermula 17 Disember lalu.

Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021 telah mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) .

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri 2021 sebelum ia diluluskan.

Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan Belanjawan Negeri Perak 2021 diluluskan selepas bacaan ketiga.

Selepas meluluskan Belanjawan 2021, Zahir mengumukan bahawa sidang DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.