PUTRAJAYA – Menjelang 2050, golongan belia perlu mengubah Malaysia supaya menjadi sebuah negara berkaliber, dengan memiliki set nilai yang tinggi tarafnya serta penetapan minda baharu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Sehubungan itu, beliau menggesa 40 peserta peringkat akhir Ten Outstanding Young Malaysian Awards 2017 (Anugerah Belia Cemerlang Malaysia) Junior Chamber International (JCI) supaya membuat perancangan mulai sekarang bagi melaksanakan dan mengubah cara berfikir agar mereka memiliki daya saing, bukan menunggu dan mengharapkan peluang jatuh ke riba.

“Untuk merealisasikan rancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50), saya ingin melihat generasi muda ini memberi tumpuan khusus terhadap idea, penetapan minda, cara kita berfikir dan satu set nilai yang baik. Banyak belia bertanya kepada saya tentang bagaimana keadaan per kapita Malaysia atau Program Transformasi Kerajaan nanti.

“Walaupun data ekonomi penting bagi pertumbuhan negara, terdapat juga faktor lain bagi TN50. Saya sangat percaya dengan Laporan Kesejahteraan negara ini,” kata Mah pada sidang akhbar bagi memperkenalkan 40 peserta peringkat akhir anugerah itu di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur Ten Outstanding Young Malaysian Awards 2017 Ernest Tan berkata 40 peserta peringkat akhir itu, yang berusia antara 18 dan 40 tahun, dipilih daripada 120 permohonan berdasarkan pencapaian atau sumbangan cemerlang mereka dalam 10 kategori iaitu pencapaian perniagaan, ekonomi dan keusahawanan.

Kategori lain ialah hal ehwal kerajaan; kepimpinan akademik; pencapaian kebudayaan, kepimpinan akhlak atau alam sekitar; sumbangan kepada kanak-kanak, keamanan dunia atau hak asasi manusia; kepimpinan kemanusiaan atau kesukarelaan; kemajuan sains atau teknologi; penambahbaikan peribadi dan inovasi perubatan.

Menurut Tan, anugerah itu akan disampaikan pada satu majlis di Sunway Resort & Spa Hotel di Kuala Lumpur pada 9 Sept.

“Pemenang akan dipilih oleh sekumpulan hakim berdasarkan beberapa kriteria, termasuk pencapaian, sumbangan dan bagaimana pencapaian mereka dari segi kepimpinan boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk berusaha mencapai potensi masing-masing dengan sepenuhnya,” kata beliau. – Bernama