KUANTAN : Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri berpendapat, pembukaan semula pendaftaran baharu kontraktor G1 bertaraf bumiputera setelah 14 tahun dibekukan tidak sesuai pada ketika ini kerana kekurangan projek yang begitu ketara sedang dihadapi kontraktor berkenaan.

Yang Dipertuanya, Abdul Gapar Lambak berkata, PKMM negeri memohon Kerajaan Pusat agar menangguhkan dahulu perkara itu.

“PKMM Pahang turut memohon agar memperbanyakkan tawaran projek dengan pakej khas bernilai tidak kurang dari RM1 bilion khususnya kepada kontraktor G1 bumiputera.

“Kita juga berharap kerajaan menyegerakan cadangan menyalurkan sebahagian dari peruntukan di dalam item wang peruntukan sementara yang terdapat dalam tender-tender projek G7 untuk ditawarkan terus kepada kontraktor G1 bumiputera melalui cabutan undi dan mesti dilaksanakan sendiri oleh Jabatan atau agensi yang berkaitan dengan kaedah bayaran secara terus dan harga tawaran perlu mengikut jadual kadar harga Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya di sini hari ini.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata, Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu bersetuju supaya pendaftaran kontraktor G1 (bumiputera) dibuka semula bermula 1 September ini selepas 14 tahun dibekukan.

Mengulas lanjut, Abdul Gapar berkata, hasrat kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan muda berkelulusan teknikal menceburi industri pembinaan adalah keputusan yang baik, namun PKMM negeri merasakan pelaksanaannya belum sesuai.

“Kerajaan perlu memperbanyakkan dan menyediakan jumlah projek yang mencukupi terlebih dahulu agar golongan ini berpeluang untuk menimba pengalaman yang secukupnya untuk menjadi kontaktor yang benar-benar tulen seperti kehendak kerajaan.

“PKMM turut menarik perhatian tentang tempoh maksima 26 tahun kepada Gred G1 Bumiputera bagi kontraktor sedia ada yang bakal disyaratkan dikaji semula dengan lebih mendalam, ia penting bagi memastikan kelangsungan selepas kenaikan gred pendaftaran yang lebih tinggi secara mandatori,” katanya