PEKAN KOBOI! Itulah antara tanggapan pertama pengunjung kali pertama sampai di Pekan Selama.

Lazimnya, orang sering ada dua tanggapan terhadap Daerah Selama yang terletak di sempadan Perak-Kedah, sama ada memberi nama jolokan ‘Penghujung Dunia’ atau kawasan sepi. Kedua-duanya membawa konotasi yang sama, sunyi sepi kerana kurang aktiviti pembangunan.

Daerah kecil Selama yang terletak di utara Perak, dianggap sebagai pintu masuk ke negeri ini memandangkan bahagian utara dan baratnya bersempadan dengan negeri Kedah.

Maka tidak hairanlah anda boleh melihat papan tanda arah yang menunjukkan jalan ke Selama, Perak dan Selama, Kedah.

Jika anda datang dari Ipoh, perjalanan ke sini mengambil masa lebih dua jam. Menyusuri jalan ke pekan Selama pula, suasananya masih hijau dan terpelihara dan bangunan pencakar langit pula boleh dibilang dengan jari.

Aktiviti White Water Rafting, Bangunkan Ekopelancongan

Walaupun Selama kurang meniti di bibir para pelancong mahupun jarang menjadi persinggahan wajib bagi sesiapa yang berkunjung ke Perak, ada sesuatu yang unik tentang daerah ini yang belum diterokai sepenuhnya.

Tahukah anda terdapat tujuh lata yang berpotensi untuk menarik ramai pelancong di sini, tetapi sayangnya masih banyak di antaranya belum dihebahkan secara meluas.

Bak kata orang, kalau mahu mengenali dengan lebih mendalam tentang satu-satu kawasan, lebih molek berbual dengan penduduk setempat.

Elakkan bergantung sepenuhnya pada ulasan atau ‘rating’ di Google kerana bukan semua sama dengan apa yang kita saksikan depan mata bukan?

Suara Perak berkesempatan menyiasat mengenai daerah ini dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin yang sememangnya membesar di sini.

Menurut beliau, terdapat banyak perancangan untuk membangunkan daerah ini demi memanfaatkan sumber alam semulajadi yang berpotensi yang boleh diangkat sebagai punca pendapatan penduduk.

“Insya-Allah kita mahu memgembangkan sektor pelancongan khususnya sukan lasak termasuk kembara ATV dan white water rafting di lata-lata yang terpilih di sini.

“Ini kerana keunikan dan tahap kesukaran lata di sini boleh dikatakan menyamai atau lebih mencabar daripada yang sedia ada di Gopeng,” katanya.

Mohd. Akmal menambah, dengan perancangan itu, beliau yakin Selama bukan lagi akan dianggap sebagai ‘lama’ dan sepi.

“Pada suatu masa nanti dengan usaha Majlis Daerah Selama (MDS), Insya-Allah, Selama akan semakin maju dan bukan lagi dianggap sebagai penghujung dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha itu telah menampakkan hasil apabila Ulu Selama di Kampung Sungai Siputeh yang menempatkan Lata Rambong telah dinaik taraf sebagai hab ekopelancongan Ulu Selama yang merupakan hasil usaha sama MDS melalui Program Local Agenda 21 MDS 2020.

Selain Lata Rambung, terdapat enam lagi lata di Selama iaitu Lata Tebing Tinggi, Lata Damak, Lata Titi Dua, Lata Batu Putih, Lata Buluh dan Lata Panggung.

Sementara itu, Mohd Idrus Abd Wahid yang bertanggungjawab sebagai operator bagi sukan air di Selama, berkata, antara kelainan yang ada di Lata Rambung ialah jeramnya yang lebih mencabar bagi penggemar sukan white water rafting.

“Sungai Selama menawarkan cabaran yang berterusan dan orang ramai mulai sedar mengenai tempat ini dan kami mendapat maklum balas yang positif; aspek positif ya ialah aktiviti ini turut membantu ekonomi setempat.

“Sejak mula diperkenalkan pada bulan Mei tahun lepas, ramai pengunjung dari utara datang ke sini untuk merasai pengalaman di lata ini, dan saya rasa kita boleh bersaing dengan sukan air yang selama ini sinonim dengan Gopeng,” katanya lagi.

Perbanyakkan Tempat Penginapan

Dalam pada itu, Yang Dipertua MDS, Mohd Amzari Mohd Arzami berkongsi harapan yang sama iaitu mahu melihat daerah ini berkembang seiring dengan daerah-daerah lain di Perak.

“Jika ada peruntukan dan kerajaan boleh membantu khususnya kemudahan asas penginapan. MDS sebelum ini ada mencadangkan untuk diwujudkan rumah rehat yang baharu di sini.

“Bila ada rumah rehat yang baharu, ia boleh menampung jumlah pelancong domestik untuk menginap di Selama serta berbelanja yang akan meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Beliau berkata, semua tarikan alam semulajadi dan kembara lasak ada di Selama seperti air terjun, lata dan sira iaitu kawasan garam mineral yang menghimpunkan haiwan untuk minum air ya.

“Malah, penduduk di sini pun mulai sedar tentang pembangunan ekopelancongan di sini dan ia satu permulaan yang baik,” katanya.