KUALA LUMPUR : Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kerana didakwa menuduh Yang di-Pertuan Agong bersikap perkauman dalam pelantikan perdana menteri baru.

Menerusi Facebook, Najib berkongsi berita mengenai kenyataan bekas menteri pembangunan usahawan, Redzuan Yusof yang menegur Khalid dan memintanya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bekas menteri PH tegur bekas menteri PH.

“Berani Lid tuduh YDP Agong bertindak rasis,” kata Najib.

Najib turut berkongsi video ucapan pengarah komunikasi Amanah itu dalam satu majlis ceramah PH, yang pada awalnya dimuat naik di media parti berkenaan sebelum tular di media sosial.

Khalid dalam video itu didakwa menyentuh keputusan Agong melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Khalid berkata PH mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan, susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi Yang di-Pertuan Agong dikatakan tidak yakin.

Khalid juga mendakwa PH, yang menamakan Anwar Ibrahim untuk memimpin kerajaan baru, mempunyai bilangan mencukupi.

“Tapi Agong tak yakin. Kerana apa? Kerana 100 lebih itu, hanya dalam 40 sahaja orang Melayu dan yang bukan Melayu 60 lebih,” katanya pada satu ceramah Khamis lepas.

Redzuan yang kini bersama gabungan baru Perikatan Nasional, bagaimanapun mendesak Khalid meminta maaf atas kenyataan itu, yang didakwa mempersoalkan kredibiliti Agong.

“Siapa Khalid untuk mempersoalkan perlembagaan?”

“Dia tidak boleh melemparkan keraguan ke atas kredibiliti Agong. Khalid Samad harus minta maaf,” katanya

Menerusi Twitter, Khalid sebaliknya mempertahankan kenyataan beliau dan menegaskan bahawa Redzuan yang sepatutnya meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong kerana ‘berbohong’.

“Redzuan sepatutnya minta maaf kepada Agong, bukan saya. Saya kasihi dan menghormati Agong, adalah melampaui batasan untuk berbohong kepadanya.

“Bolehkah Redzuan membuat perkara yang sama?”

“Kamu menunjukkan sikap tidak hormat kepada raja dan negara apabila kamu berbohong dan mendakwa Tun M dan lima yang lain menyokong Muhyiddin,” katanya.

Selepas perletakan jawatan Mahathir, Yang di-Pertuan Agong telah menemubual kesemua anggota  parlimen untuk mengetahui pilihan mereka terhadap calon perdana menteri kelapan.

Baginda akhirnya bersetuju melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas tiada mana-mana pihak dikatakan dapat membuktikan majoriti yang jelas.

Namun Mahathir pada 1 Mac lalu berkata beliau tidak diberikan peluang kedua untuk menyerahkan bukti bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti anggota parlimen.

Ini mendorong PH merancang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam sesi Dewan Rakyat yang akan datang.

Lid tuduh YDP Agong bertindak rasis?Lid.. oh Lid.PAN.. oh PAN.Kenyataan seperti ini amat tidak bertanggungjawab kerana ianya mampu menghasut orang bukan Melayu untuk membenci YDP Agong.

Posted by Najib Razak on Khamis, 5 Mac 2020