BUKIT BERUNTUNG: Pertelingkahan sepasang suami isteri kerana masalah kereta tiada pendingin hawa dipercayai punca sebuah kenderaan itu dibakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, sebuah kereta PERODUA Kancil terbakar di Jalan Seroja 1B, Taman Seroja, Bukit Sentosa di sini.

Kejadian disedari penduduk yang melihat kepulan asap tebal dari tepi kediaman pasangan itu sebelum menghubungi pihak bomba.

Menurut penduduk dikenali sebagai Fahmi, 50, pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu sudah bergaduh sejak tiga hari lalu.

“Difahamkan, kereta (PERDOUA) Kancil itu banyak masalah teknikal termasuklah pendingin hawa yang rosak.

“Keadaan itu menyebabkan pasangan itu bergaduh kerana menghadapi masalah untuk ke mana-mana, termasuk susah untuk menghantar anak ke sekolah.

“Ada yang melihat si isteri memecahkan cermin kereta itu semalam di tempat sama dan pagi tadi kenderaan itu pula dibakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.38 sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta itu musnah 100 peratus dan punca kebakaran dipercayai sengaja dibakar kerana pergaduhan suami isteri – berita harian